Sunday, November 14, 2010

Kenapa Semua Planet Sfera?

planet

Kenapa Bulan, Matahari dan lapan planet lain dalam sistem suria kita seperti Utarid, Zuhrah, Bumi, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus dan Neptun berbentuk bulat? Begitu juga dengan planet kerdil seperti Ceres, Pluto dan Eris. Bahkan lebih daripada 200 planet lain yang pernah ditemui sebelum ini kesemuanya juga berbentuk sfera. Mengapa tiada satupun berbentuk segitiga, segiempat atau berupa lain ?



Pertanyaan ini mungkin dianggap kurang cerdik. Tapi tak ramai diantara kita yang tahu dan boleh menjawabnya dengan tepat mengapa formasi sama itu boleh terjadi.

Apabila persoalan ini diajukan kepada pensyarah di pusat Pengajian Fizik Gunaan dan Fellow di Institut Sains Angkasa (ANGKASA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Geri Gopir, berikut adalah penjelasannya.

Menurutnya satu perkataan sahaja yang boleh menjelaskan semua perkara ini, iaitu graviti. Buktinya kita perlu teliti fakta kosmologi. Secara asasnya, cakerawala bermula dengan letupan yang dinamakan Big Bang yang berlaku 13.7 bilion tahun dahulu. Letupan itu telah membebaskan debu dan gas di alam maya.

Siapa sangka, tarikan graviti antara debu dan gas menyebabkan dua jisim bercantum. Lama kelamaan ia mampat dan membesar. Lalu terbentuk gugusan planet dan bintang secara serentak pada 4.6 bilion tahun dahulu.

Bagaimana saintis mengetahui hal ini ?

Teori nebula dapat menjelaskan hal ini. Mengikut teori ini, jangka hayat sistem suria perlu sama dengan matahari. Jadi ukuran jangkahayat dengan mengambil beberapa sampel daripada gugusan planet seperti batu dari bulan dan meteor dari marikh.

Ujian menunjukkan umur sistem suria adalah lebih kurang 4.6 bilion tahun.

Persoalannya, apakah sejak lahir lagi semua planet telah berbentuk bulat ?

Jelas Dr. Geri, bentuk asal planet berkemungkinan tidak bulat atau sfera tepat. Tetapi sifat graviti yang sentiasa menarik secara simetri daripada semua arah dengan kekuatan yang sama membuatkan planet menjadi sfera tepat.

Sebagai contoh. Mungkin sesebuah planet itu bermula dengan bentuk segiempat. Kemudian, setiap hujung bucu segiempat itu lama kelamaan akan ditarik kedalam sehingga menghasilkan bentuk stabil dengan tenaga paling rendah.





Pada peringkat planet, bentuk paling mantap dan efisien adalah sfera. Itu sebabnya mengapa Matahari, Bulan dan semua planet dalam sistem suria mempunyai bentuk yang serupa.

Namun apakah penjelasan ini menunjukkan bahawa seluruh jasad di luar alam semesta semuanya berbentuk bulat? Jawapannya tidak. Bentuk asteroid, komet atau meteor misalnya, tidak bulat. Bulan di planet Marikh pula berbentuk lonjong seperti kentang. Keadaan ini terjadi kerana saiz dan jisimnya tidak cukup besar. Apabila tidak cukup besar dan kuat, maka ia akan kekalkan bentuk asalnya.

Keadaan ini berbeza dengan pembentukan planet. Saiz skala planet yang besar dan kekuatan graviti menyebabkan gugusan planet ditarik menjadi sfera.

Mengikut perkiraan, sesebuah planet itu perlu bersaiz lebih 1000 kilometer, barulah ia dapat membentuk sfera. Selain itu, objek tersebut juga perlu berada dalam sistem suria dan mengorbit mengelilingi matahari.

Ia juga perlu mempunyai graviti yang cukup untuk menarik dirinya sendiri sehingga mencapai bentuk sfera yang seimbang. Inilah garis panduan yang ditetapkan oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) pada tahun 2006 sebagai syarat untuk membezakan planet dengan objek lain di angkasa lepas.

Mengikut takrifan IAU, terdapat 8 planet dalam sistem suria. Setiap planet mempunyai jarak purata yang berbeza-beza dari matahari. Contohnya planet Utarid berjarak 57.9 juta kilometer. Zuhrah pula berada sejauh 108.2 juta km. Bumi di jarak 149.6 juta km.

Planet Marikh berkedudukan 227.9 juta km. Musytari berada pada kedudukan 778.3 juta km. Manakala Zuhal pula berada pada jarak 1,427.0 juta km. Uranus pula berjarak 2,871.0 juta km dan Neptun di kedudukan 4,497.0 juta km.



Planet-planet ini mengelilingi matahari pada arah yang sama, iaitu lawan jam. Pada masa yang sama, semua planet ini berputar pada paksi masing-masing.

Bgaimanapun, satu perkara yang ditakuti kini ialah ada kemungkinan planet-panet itu akan bertembung antara satu sama lain.

Dr. Geri menjelaskan, pertembungan itu boleh berlaku pada bila-bila masa, lantaran wujud tarikan graviti yang sangat kuat antara mereka.

-ehoza

0 comments:

Latest

 

Old-Trafford | Find us on Google+

Disclaimer: Kebanyakan informasi dalam blog ini dipetik dari Berita Harian Online,Man United Website.Harap Maklum.