Thursday, September 22, 2011

Khasiat Cendawan Ling Zhi (Ganoderma lucidum)

CENDAWAN ling zhi atau Ganoderma lucidum ialah sejenis herba yang cukup popular. Cendawan itu berwarna merah dan perang serta berkilat. Saiznya juga agak besar berbanding cendawan biasa menyebabkan ia kurang mendapat perhatian. Namun, Khasiat Cendawan Ling Zhi (Ganoderma lucidum) cukup banyak.

Khasiatnya diperakui berabad lamanya sejak zaman Dinasti Shu di China iaitu kira-kira 2,400 tahun lalu.

Ketika itu hanya mereka yang berstatus maharaja atau keluarga diraja sahaja yang mampu mendapatkannya kerana harganya yang mahal. Dengan bahan aktif yang dikenali sebagai polisakarida, berupaya menguatkan sistem imun, ling zhi boleh dijadikan langkah awal untuk menghalang dan merawat kanser, antialergi, antiradang, antiviral, antibakteria dan antioksidan.

Khasiat Cendawan Ling Zhi, (Ganoderma lucidum)BENTUK cendawan ling zhi memang kurang menarik tetapi khasiatnya luar biasa.

Ada yang mengatakan seseorang perlu mendaki gunung dan meredah rimba bagi mendapatkan cendawan ling zhi.

Namun, hari ini kita tidak perlu lagi bersusah-payah mendaki gunung atau masuk ke dalam hutan untuk mendapatkan ling zhi.

Jaga kesihatan

Cendawan itu kini ditanam secara komersial di beberapa buah negara seperti China, Jepun dan Amerika Syarikat. "Di Malaysia tidak ramai yang menanam cendawan ini kerana pasarannya kurang memberangsangkan," kata Prof Dr. Noorlidah Abdullah dari Institut Sains Biologi Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Beliau yang juga mengamalkan minuman ekstrak ling zhi berkata, ia sangat baik untuk menjaga kesihatan.

Polisakarida, bahan aktif yang terdapat dalam ling zhi berupaya menguatkan sistem imun tubuh. Ling zhi boleh dijadikan langkah untuk mencegah kanser, bertindak sebagai antialergi, antiradang, antiviral, antibakteria dan antioksidan," katanya.

Selain itu, ling zhi mempunyai antioksidan paling tinggi berbanding cendawan lain.

Antioksidan boleh menyingkir radikal bebas yang terbentuk dalam badan melalui metabolisme tubuh. Radikal bebas akan merosakkan lipid pada membran sel dan asid deoksiribunokliek (DNA). Jadi apabila berlakunya serangan, tubuh boleh terdedah kepada penyakit seperti jantung, artritis dan penyakit lain.

"Penyakit-penyakit ini timbul apabila umur meningkat akibat kekurangan antioksidan. Kalau amalkan ling zhi, sistem imun kita akan sentiasa tinggi dan dapat melindungi diri daripada serangan pelbagai penyakit," kata Dr. Noorlidah.

Ling zhi juga katanya, baik untuk paru-paru dan hati kerana ia meningkatkan proses detoksifikasi.

Menurut Dr. Noorlidah, ling zhi boleh memberi harapan kepada pesakit diabetes. Ling zhi dipercayai berupaya mengelakkan pesakit diabetes daripada 'kehilangan kaki' dan ini diakui pengusaha cendawan, Ganofarm Sdn. Bhd., P.G. Cheng.

Berkelulusan ijazah sarjana muda kimia, Cheng yang menanam ling zhi sejak tujuh tahun lalu berkata, pengalaman berurusan dengan pesakit diabetes sebelum ini, membuktikan keberkesanan cendawan itu.

"Ada seorang pak cik di Alor Setar, Kedah kakinya hampir dipotong disebabkan luka. Lukanya menjadi teruk disebabkan dia ada penyakit diabetes.

"Namun, selepas mengamalkan ling zhi, kaki pak cik itu dapat diselamatkan dan tidak perlu dipotong," katanya.

Selain selalu menerima kedatangan pesakit diabetes ke ladangnya di Tanjung Sepat, Selangor pesakit hipertensi dan ekzema juga mendapatkan produk yang diperbuat daripada ling zhi. Cheng berkata, terdapat kajian yang mendedahkan ling zhi dapat meningkatkan sistem imun pesakit HIV/AIDS.

"Pesakit HIV/AIDS berhadapan situasi sistem imun rendah. Ada satu kajian mendedahkan, kualiti kehidupan mereka yang mengambil ling zhi semakin baik," katanya.

Faktor harganya yang mahal menyebabkan tidak ramai yang mampu membeli ling zhi. Atas sebab itulah, Cheng terdorong untuk menanam ling zhi dan menghasilkan produk sendiri serta tidak menggunakan khidmat orang tengah untuk mengurangkan kos.

Atas sebab itulah, produk ling zhi yang terdapat di kedainya seperti pencuci rambut, minuman kesihatan dan kapsul dijual pada harga berpatutan, "Sebelum ini, untuk mendapatkan produk ling zhi perlu melalui ejen tertentu dan harganya sangat mahal. Disebabkan itu, saya memilih untuk menanam cendawan ling zhi dan menghasilkan pelbagai produk berasaskannya.

Sebelum ini Cheng pernah menjual ling zhi segar, namun pulangannya kurang memberangsangkan.

Beliau turut kesal kerana terdapat sesetengah pihak mengambil kesempatan menjual ling zhi palsu di pasaran.

"Ling zhi asli apabila direbus, rasanya sangat pahit. Pernah sekali saya pergi ke sebuah pasar, penjual itu mengatakan bahawa dia menjual ling zhi.

"Ia kelihatan seakan-akan ling zhi asli, tetapi apabila ditanya sama ada ia pahit atau tidak, penjual itu kata tidak. Dari situ kita tahu itu bukanlah ling zhi asli," katanya. - Bernama

0 comments:

Latest

 

Old-Trafford | Find us on Google+

Disclaimer: Kebanyakan informasi dalam blog ini dipetik dari Berita Harian Online,Man United Website.Harap Maklum.