Tuesday, May 15, 2012

Peter Butler sah Jurulatih Terengganu

Kehadiran Peter Butler menduduki kerusi panas Terengganu bukan lagi spekulasi apabila jurulatih berasal dari Halifax, England itu disahkan mengisi tempat dikosongkan pengendali sebelum ini, Mat Zan Mat Aris.Kontrak Peter Butler bersama Terengganu itu akan diikat hingga 30 November 2013.

Pengesahan itu dibuat Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh dalam sidang media dan majlis menandatangani kontrak di pejabatnya semalam bagi menamatkan teka-teki sebelum ini mengenai siapa bakal menjadi ketua jurulatih selepas Mat Zan yang pernah dijulang wira pada 2001 apabila membantu Terengganu muncul juara Piala Malaysia buat kali pertama, melepaskan jawatan selepas lima bulan mengemudi Penyu.

Che Mat berkata, jurulatih berusia 46 tahun itu yang juga bekas pemain pertahanan kelab West Ham United memulakan tugas pertamanya pada 1 Jun selama 18 bulan dan dibantu penolong jurulatih, Khalid Mohd Dahan.

“Saya harap Butler berjaya meningkatkan lagi prestasi kami dalam misi mengejar pendahulu liga serta melayakkan diri ke final Piala Malaysia selepas gagal mempertahankan Piala FA, “ katanya.

Sebelum memilih Terengganu, Butler pernah mengemudi Kelantan pada 2009 namun mengubah haluan apabila berhijrah ke Myanmar bagi membimbing kelab Yangoon United FC sebagai Pengarah Teknikal.

Selepas setahun bersama kelab itu, jurulatih yang fasih berbahasa Melayu itu memilih kelab BEC Tero Sasana dalam saingan Liga Super Thailand sebelum sekali lagi membimbing Kelantan bermula Januari lalu, namun kontraknya ditamatkan akhir Mac lalu gara-gara kritikan pedas terhadap persatuan bola sepak negeri itu.

Dalam sidang media itu, Butler menaruh harapan Terengganu kembali bangkit mencipta kemenangan dengan mengharapkan peminat memberikan sokongan padu kepadanya dan pemain.

“Saya akan berusaha memastikan Penyu berada pada prestasi sebenar dan sedikit perubahan perlu dilakukan daripada segi taktikal dan strategi.

“Yang penting pemain memberi fokus dan menunjukkan disiplin serta semangat juang yang tinggi,” katanya.

Mengenai kedudukan Mat Zan, Che Mat berkata, secara rasminya PBSNT membuat keputusan melanjutkan tempoh rehat bekas pengendali itu hingga 31 Mei ini.

Sementara itu, Mat Zan ketika dihubungi berkata, dia tidak mendapat sebarang maklumat berhubung permintaan tuntutan gajinya serta tempoh rehat dilanjutkan sehingga akhir bulan ini.“Apa pun, saya harap PBSNT memenuhi permintaan berhubung soal gaji itu,” katanya. - Metro

0 comments:

Latest

 

Old-Trafford | Find us on Google+

Disclaimer: Kebanyakan informasi dalam blog ini dipetik dari Berita Harian Online,Man United Website.Harap Maklum.